Falsafah Pendidikan
Saya tidak melihat diri saya sebagai 'pengajar' ataupun 'pemberi
ilmu'. Pada saya, guru atau pendidik bukanlah seorang yang mempunyai keseluruhan pengetahuan dan
harus menyampaikan segala pengetahuan tersebut kepada pelajar. Falsafah saya dalam pengajaran dan
pembelajaran melibatkan pendekatan konstruktivis dan sosial konstruktivis di
mana persekitaran haruslah menyokong dan meransang pelajar ke arah pembelajaran
aktif dan melakukan eksplorasi berkesan
bagi menimba pengetahuan baru. Saya
percaya bahawa pelajar abad ke-21 perlu
diberi peluang untuk meneroka di luar persekitaran kelas fizikal dan dapat
berinteraksi antara satu sama lain dan guru-guru pada bila-bila, mana-mana sahaja.
Bagi
saya, pengajaran adalah satu proses, bukan sehanya satu aktiviti yang berlaku
di dalam ruang lingkup yang terhad. Sebagai seorang pendidik saya perlu
sentiasa melakukan inovasi dalam pengajaran dan memastikan pelajar saya juga
melakukan inovasi dalam pembelajaran mereka.
Sebagai seorang pendidik yang mengajar guru-guru dalam
menggunakan alatan dan aplikasi ICT yang
inovatif dalam kursus saya, matlamat saya ialah untuk memberi motivasi kepada
pelajar saya (iaitu bakal guru/guru/pendidik) untuk memulakan penerokaan
peribadi ke arah menggunakan ICT dalam persekitaran PdP mereka. Perkara
pertama yang perlu saya lakukan adalah untuk menukar ‘mindset’ pendidik untuk melakukan eksplorasi agar PdP mereka tidak
lagi berpusatkan guru semata-mata. Ini hanya boleh berlaku sekiranya pendidik
ditanamkan dengan pendekatan memberi kuasa atau ‘empowerment’ kepada pelajar untuk melakukan eksplorasi dalam
pembelajaran. Ilham untuk melakukan inovasi
dalam PdP haruslah ditanam dalam kalangan pendidik dan pelajar.
Setakat ini saya sentiasa cuba mengubah dan menambah
baik strategi dari segi gabungan pedagogi dan teknologi kerana keduanya adalah
penting dalam melakukan penerokaan untuk mendalami pengetahuan baru. Keduanya (pedagogi dan teknologi) perlu
digabungjalin untuk menjadikan persekitaran pembelajaran sesuatu pengalaman
yang kekal dalam hati setiap individu. Saya juga inginkan pelajar mengetahui
betapa saya mempunyai semangat yang jitu dalam meningkatkan kualiti PdP,
motivasi dan minat mereka. Saya akan sentiasa memastikan kursus-kursus di bawah
kelolaan saya adalah mencabar tetapi pelajar tetap akan mampu membina
pengetahuan yang ingin digapai.
~AAZ
0 comments: