PENYATA INOVASI

23:00 mel 0 Comments



Bidang kepakaran saya adalah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di mana secara spesifiknya kepakaran  saya menjurus kepada Rekabentuk Pengajaran dalam e-pembelajaran, m-pembelajaran serta Teknologi Pendidikan. Saya telah mengajar di USM selama lebih kurang 7 tahun. Sebelum itu saya pernah berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Politeknik Johor Bahru selama 3.5 tahun. Bermula sebagai pensyarah di Politeknik, saya mengajar mengikut acuan sedia ada di mana ketika itu saya berpendapat bahawa kaedah pengajaran yang dilakukan oleh guru/pensyarah saya merupakan kaedah terbaik dalam menyampaikan isi kandungan pengajaran. Walaubagaimanapun penjalanan saya sebagai pendidik pada satu ketika mendapati bahawa saya perlu mengubah pendekatan pengajaran saya memandangkan saya dapati saya sukar mendapat perhatian pelajar kecuali saya menjadi sangat garang dan kejam! Saya tidak mahu terus dianggap sebagai ‘nenek kebayan’ (gelaran yang saya terima ketika itu) yang sering ditakutii oleh pelajar saya. 

Bermula dengan menjadi pendidik di USM, saya merasakan bahawa saya perlu mengubah diri saya dari seorang pendidik yang berpusatkan guru, autokratik dan sangat behavioris  kepada seorang pendidik yang lebih fleksibel dan pemberi peluang kepada pelajar belajar mengikut acuan masing-masing. Di sepanjang saya berkhidmat sebagai ahli akademik saya telah cuba untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran saya bagi memastikan persekitaran pembelajaran adalah berkesan bagi pelajar membina pengetahuan mereka. Sesi pengajaran saya telah berkembang dari sesi pasif kepada sesi aktif di mana saya dan pelajar bersama-sama mencari alternatif bagi menghasilkan persekitaran yang tidak membosankan. Untuk semester kebelakangan ini saya banyak menggunakan pendekatan Blended learning di mana tumpuan diberikan kepada kaedah Flipped Classroom  di mana bahan-bahan yang disediakan diberikan kepada pelajar lebih awal sebelum kelas. Aktiviti dalam kelas biasanya tidak melibatkan kuliah yang disampaikan oleh saya tetapi pelajar melakukan aktiviti pencarian bahan pembelajaran secara individu mahupun kolaborasi dengan pelajar lain. Kesemua pelajar saya diwajibkan membawa laptop ke kuliah dan aktiviti biasanya dilakukan di atas talian menggunakan pelbagai aplikasi yang ada di Internet. Saya dapati bahawa pelajar saya menjadi sangat aktif dalam sewaktu sesi PdP.

Sebagai contoh untuk kursus PGT436e yang mana kursus tersebut mempunyai seramai 137 orang pelajar. Masalah utama yang saya hadapi adalah kelas diadakan di sebuah dewan kuliah yang besar bagi memuatkan sejumlah pelajar tersebut. Malangnya apabila aktiviti secara atas talian ingin dilakukan, masalah internet yang kurang memberangsangkan muncul. Bilangan pelajar yang ramai dan internet yang lambat tidak membantu persekitaran pembelajaran aktif yang saya inginkan. Oleh yang demikian saya merasakan saya perlu menukar strategi. Perjumpaan kelas dilakukan seperti biasa pada jam 9 pagi hari Rabu. Dalam masa setengah jam saya memberi penerangan ringkas atau briefing kepada pelajar akan tajuk yang dibincangkan pada minggu itu. Saya kemudiannya memberikan tugas kepada pelajar untuk disiapkan dalam masa 2 jam tentang tajuk yang dibincangkan. Saya benarkan pelajar untuk keluar dari Dewan Kuliah dan mencari ‘hub’ USMWireless untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Pelajar perlu menyiapkan tugasan yang diberi dan meletakkan hasil tugasan tersebut dalam tapak padlet.com yang saya sediakan mengikut waktu yang ditetapkan (Rujuk bukti pengajaran). Setelah tugasan selesai mereka perlu masuk ke Dewan Kuliah semula, saya akan memaparkan hasil kerja masing-masing untuk memastikan tugasan telah diselesaikan mengikut waktu yang ditetapkan. Setelah selesai pelajar dibenarkan pulang. 

Pada minggu seterusnya saya akan memulakan kelas dengan memaparkan semula hasil kerja pelajar pada minggu seterusnya dan menerangkan kepada pelajar kadar ketepatan hasil kerja mereka, ada atau tidak miskonsepsi yang berlaku dalam hasil kerja pelajar dan meminta pelajar memberi refleksi terhadap hasil kerja mereka. Kadang kala kelas akan dimulakan dengan sesi penilaian menggunakan aplikasi Kahoot  di mana pelajar akan diberi kuiz secara atas talian berkaitan tajuk minggu sebelumnya. Saya mendapat refleksi yang sangat positif dari pelajar atas penggunaan aplikasi ini (Rujuk restimoni pelajar).
Aplikasi-aplikasi di bawah banyak saya gunakan untuk sesi interaksi kelas tidak kira sama ada secara bersemuka mahupun di luar waktu PdP bagi setiap kursus di bawah penyelarasan saya:


1. Saya menggunakan aplikasi Whatsapp utk berhubung dengan pelajar di luar waktu pembelajaran. Saya merasakan ianya sangat efektif bagi penyampaian maklumat secara segera dan tepat. Setiap kursus saya di bawah penyelarasan saya mempunyai Whatsapp group mereka yang tersendiri.


2. Saya menggunakan Storify.com dan Blendspace.com sebagai tapak untuk berkongsi bahan dengan pelajar . Saya mendapati bahawa kegunaan kedua tapak ini saya membantu dalam penyediaan bahan yang lebih komprehensif kepada pelajar berbanding penyediaan bahan secara konvensional.


3. Saya menggunakan padlet.com sebagai tapak perbincangan dan penghantaran tugasan oleh pelajar. Padlet adalah satu tapak yang sesuai dan bagus untuk mengetahui secara jelas miskonsepsi pelajar. S


4. Saya menggunakan aplikasi EdPuzzle dan Kahoot untuk penilaian pelajar. Saya mendapati EdPuzzle sangat membantu dalam memastikan pelajar membina pengetahuan dalam isikandungan topik yang dibincangkan. Manakala Kahoot pula merupakan satu aplikasi yang sangat interaktif dan menarik minat keseluruhan pelajar untuk dalam penilaian. Saya mendapati pelajar tidak lagi takut untuk menjawab kuiz tetapi sentiasa bertanya bilakah kuiz akan dijalankan untuk kelas tersebut.


Saya telah mendapat maklumbalas yang sangat baik dari pelajar-pelajar saya dari pelbagai peringkat iaitu ijazah pertama, sarjana dan doktor pendidikan. Bagi saya dengan keterlibatan aktif pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang saya sediakan, pelajar tidak lagi menjadi insan pasif yang disuap dengan pelbagai informasi tetapi mereka menjadi individu yang berusaha mendapatkan maklumat yang mampu dibina sebagai pengetahuan baru mereka.  Saya berpendapat bahawa pensyarah perlu menjadi lebih kreatif dalam membina persekitaran pembelajaran inovatif dan menjadikan pelajar lebih bersemangat untuk hadir dan membina ilmu dalam persekitaran pembelajaran tersebut.

0 comments: